Anak-anak yang sedang membesar memerlukan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, disiplin tinggi serta cara berkomunikasi yang berkesan. Ikuti 8 kata-kata yang perlu dielakkan ketika berkomunikasi dengan anak-anak.
1. Daripada berkata “Jangan kacau Ayah/Ibu!”
Kata-kata ini memberi persepsi yang anda tidak suka berbual dengan mereka. Lalu mendorong mereka untuk tidak memberitahu apa-apa perkara ketika mereka dewasa kelak.
Cuba berkata “Ayah/Ibu perlu habiskan kerja ini, minta awak tunggu beberapa minit lagi.”
2. Daripada berkata “Jangan buat. Kamu kecil lagi.”
Kanak-kanak perlu diberikan tanggungjawab. Ibubapa yang over-protective penyebab utama para remaja kurang kemahiran asas kehidupan dan memiliki sikap terlalu bergantung. Lalu menjadikan mereka sukar membuat keputusan sendiri dan kurang cerdik.
Cuba berkata “Kamu boleh lakukan perkara tersebut jika belajar cara betul untuk melakukannya”
Kanak-kanak sangat berminat belajar perkara baru. Mereka akan mengganggu anda ketika melakukan kerja dapur atau kerja tukangan. Jangan sesekali melarang mereka. Ajar dan benarkan mereka melakukannya sendiri. Awasi mereka. Sesi pembelajaran secara praktikal lebih menyeronokkan dan membantu minda mereka berkembang.
3. Daripada berkata “Jangan bercakap dengan orang yang tak kenal.”
Memang penting memastikan anak-anak dalam keadaan selamat. Tetapi arahan tersebut sangat mengelirukan. Lalu menyebakan mereka menjadi pasif.
Cuba berkata “Kenali siapa yang kamu berbual. Jika kamu rasa tidak selamat, Lari!”
Bimbing mereka mengenali tingkah laku yang mencurigakan. Pastikan mereka tahu untuk membezakan individu tersebut. Ajarkan mereka mengenali situasi yang selamat dan cara menyelamatkan diri ketika menghadapi situasi mencemaskan.
4. Daripada berkata “Ayah/Ibu takda duit.”
Kata-kata ini membawa persepsi yang kurang baik. Mereka akan mula berfikir yang anda tidak bijak mengawal kewangan. Mereka akan melihat anda mampu membeli barang-barang lain tetapi tidak mampu menunaikan kehendak mereka.
Cuba berkata “Ayah/Ibu sedang mengawal perbelajaan. Kita beli yang perlu dahulu.”
Anda boleh mengajar mereka tentang perancangan kewangan. Ajar mereka maksud keperluan dan kehendak. Ini membantu mereka menjadi celik kewangan ketika dewasa kelak.
5. Daripada berkata “Cubalah jadi seperti abang kamu.”
Perbandingan adalah racun dan tidak membawa kepada tingkah laku positif. Membandingkan antara adik-beradik atau dengan rakan sebaya akan melunturkan keyakinan diri dan membentuk sifat ‘siblings rival’. Jangan sesekali membandingkan anak-anak anda
Cuba ingatkan mereka bahawa setiap manusia itu unik dan anda menyayangi setiap daripada mereka. Dorong mereka menjadi unik dan mengejar kecemerlangan.
6. Daripada berkata “Mengarut betul. Benda ni pun nak sedih!”
Mungkin bagi anda, mereka sedang bersedih tentang perkara-perkara yang kecil. Namun elakkan daripada menidakkan perasaan mereka kerana ia akan menyebabkan mereka rasa terasing dan jadi semakin kecewa. Lalu akan mengelak daripada berkongsi perasaan sedih atau kecewa pada masa hadapan.
Cuba berkata “Beritahu ayah/ibu apa yang awak sedih sangat?”
Hiburkan mereka dengan kata-kata ransangan. Elakkan daripada terlalu banyak bertanya dan menyiasat. Jadi pendengar yang baik.
7. Daripada berkata “Baguslah kamu ni.”
Pujian ini terlalu umum dan mengelirukan
Cuba berkata “Ayah/Ibu sangat suka kamu bertolak ansur.”
Terangkan kenapa mereka dipuji. Ia mendorong mereka untuk mengulangi perbuatan tersebut.
8. Daripada berkata “Cantiknya lukisan kamu!”
Kanak-kanak kecil memiliki kreativiti yang tinggi. Apabila anda meneliti dan menilai karya mereka dengan pujian, ia menyekat peluang mereka daripada meneliti dan menilai hasil karya mereka sendiri.
Cuba berkata “Ayah/Ibu nampak merah, biru dan kuning! Boleh kamu ceritakan tentang apa yang kamu hasilkan?”
Kata-kata ini akan mendorong mereka bercerita karya yang dihasilkan. Ia juga mengasah kreativiti dan mematangkan pemikiran dalam memilih hala tuju yang mereka gemari. Ia juga secara tidak langsung mendorong kemahiran lain seperti kemahiran penyampaian.
0 comments