Tuesday, 3 November 2015

PEROMPAK ACU PARANG SEBELUM LARIKAN VAPE

04:00:00

 Gambar Hiasan

TUMPAT - Sebuah kedai vape kerugian RM30,000 selepas dimasuki dua perompak bersenjatakan  parang dalam kejadian di Kampung Pasir Pekan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, salah seorang perompak itu mengacukan parang di leher pekerja kedai dan kemudiannya mengambil pelbagai jenis vape di dalam almari dengan mengisinya ke dalam guni.

Perompak itu kemudiannya melarikan diri menaiki kereta wira menghala ke bulatan Pasir Pekan selepas mendapat habuannya.

Semasa kejadian, hanya dua pekerja berada di dalam kedai itu manakala pemiliknya, Mohd Arif Junaidden, 26, berada di tingkat atas.

Mohd Arif berkata, dia mengetahui kedai dirompak selepas pekerjanya naik ke tingkat atas dengan tangan terikat.
"Saya turun ke bawah tetapi sudah terlambat kerana perompak itu sudah melarikan diri.
"Pelbagai jenis vape, bateri dan aksesori vape lesap,  yang dianggarkan bernilai RM30,000," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Arif berkata, pekerjanya tidak cam muka perompak itu kerana memakai topeng muka dan sarung tangan.

Menurutnya, pekerjanya memberitahu kejadian itu begitu pantas sekali apabila didatangi dua perompak yang pada mulanya disangka pelanggan selepas ternampak kelibat di luar pintu kaca kedai.
"Pintu besi kedai dah tarik separuh, jeriji tidak dikunci.
"Apabila perompak itu berada di depan pintu, pekerja saya nampak kaki mereka yang disangka pelanggan dan dibukanya pintu," katanya.
Menurutnya, ketika pekerjanya menjengguk kepalanya di luar pintu itu, salah seorang perompak terus mengacukan parang di leher dan mengarahkan masuk ke dalam kedai dan mengikat tangan mereka serta meminta diamkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian tersebut.

0 comments