Nota Editor: Perkongsian ini adalah pendapat peribadi Dr. Abdul Rahman Abdul Kadir, bukan The Vocket. Maka, artikel ini tidak berkaitan dengan The Vocket dan tidak mewakili pendapat The Vocket. Beliau menerangkan mengapa doktor banyak soal pelbagai soalan kepada pesakit. Semoga bermanfaat.
Bahagian 1:
Ini adalah merupakan sikap segelintir rakyat Malaysia yang agak menyedihkan.
Mereka marah apabila doktor bertanya soalan-soalan kepada mereka. Mereka mahukan rawatan diberikan begitu sahaja tanpa doktor banyak soal.
Sebenarnya, proses bertanya dan menemubual pesakit ini dipanggil ‘History Taking’. Ia bertujuan memberikan kefahaman yang jelas buat perawat memahami sebab musabab pesakit hadir ke hospital dan memberikan diagnosis yang tepat serta rawatan yang betul.
Hatta dengan Bangladesh atau Vietnam yang tak reti sepatah haram Bahasa Malaysia atau English pun, kami akan berusaha sedaya upaya kami untuk berkomunikasi bagi mencapai maksud di atas walau kadang-kala jadi seperti ayam bercakap dengan itik.
Dengan history taking yang baik, 90% dari diagnosis boleh dibuat oleh doktor. Juga mereka boleh juga mendapatkan maklumat apakah anda sedang menghidap sakit berbahaya yang berpotensi mengancam nyawa.
Contohnya anda hadir ke klinik kerana batuk. Bagi anda ia hanya sekadar batuk biasa mungkin. Tapi menjadi tanggungjawab bagi kami untuk menyoal anda sekiranya anda mempunyai simptom-simptom sakit-sakit bahaya yang lain seperti kanser, TB (batuk kering), pneumonia, pneumothorax dan sebagainya. Juga apakah anda mempunyai jangkitan yang berbahaya seperti MERSCoV serta virus-virus bahaya yang lain.
Sungguhpun jika anda hadir ke hospital kerana sesuatu yang obvious/jelas seperti terlibat di dalam kemalangan jalan raya, doktor tetap perlu bertanya soalan-soalan bagi memahami biomekanisme kemalangan yang akan membantu meramal jenis kecederaan. Juga doktor akan bertanya juga soalan-soalan bagi memastikan tiada unsur jenayah terlibat dalam kes anda. Kesemua maklumat yang anda berikan itu akan membantu anda juga seandainya ada tuntutan insurans dan juga kes mahkamah di kemudian hari.
Itulah tujuan dan niat doktor bertanya. Kami tiada ilmu telepathy atau ilmu Laduni seperti Nabi Khidir.
Beri kerjasama yang sepatutnya dan mohon jawab dengan berhemah.
Bahagian 2:
Pagi tadi saya ada menulis tentang kepentingan doktor bertanya soalan melalui history taking agar diagnosis yang tepat dapat dicapai dan seterusnya rawatan yg betul dapat diberikan kepada pesakit.
Alhamdulillah, ramai yang faham dan dapat mencerna maksud yang saya cuba sampaikan. Namun ada segelintir yang masih tidak berpuas hati. Mereka bangkitkan pula isu kenapa doktor bertanya soalan banyak kali di hospital dan klinik-klinik kerajaan. Jawapan terpaksa diulang-ulang pada soalan-soalan yang sama yang dikemukakan oleh doktor-doktor yang berlainan di hospital dan fasiliti kesihatan kerajaan. (Rujuk gambar).
Tahukah anda ada sebabnya doktor-doktor menyoal anda berulang kali?
Ini dinamakan sebagai verification of history (pengesahan maklumat).
Dari pengalaman kami, maklumat dari pesakit akan berubah-ubah. Dengan Doktor A dijawab lain. Dengan Doktor B dijawab lain. Dengan Doktor C dijawab lain. Kenapakah ini berlaku?
Terdapat beberapa sebab yang boleh digariskan.
- Antaranya pesakit memang mengambil masa untuk menyampaikan informasi. Kadang kala pada perjumpaan awal dengan doktor mungkin ada maklumat yg mereka terlupa atau tidak dapat recall. Itu pentingnya pesakit disoal lagi oleh doktor lain di wad.
- Ada maklumat-maklumat tambahan yang mungkin diperolehi oleh doktor lain. Apabila seseorang doktor itu bercakap bahasa ibunda pesakit ia semestinya merupakan satu kelebihan untuk memperolehi lebih maklumat yang mungkin gagal diperolehi oleh doktor sebelumnya.
- Ada juga pesakit yang lebih selesa memberikan maklumat kepada doktor-doktor tertentu sahaja. Contohnya, pesakit wanita yang malu untuk memberikan maklumat tertentu kepada doktor lelaki dan hanya bercerita sepenuhnya kepada doktor wanita kemudiannya. Itu sebabnya doktor perlu bertanya berulang kali bagi mendeteksi jika ada maklumat tertentu yang cuba disorokkan pesakit.
- Doktor-doktor pelatih sebenarnya sedang berada dalam tempoh latihan. Jadi setiap maklumat yang mereka perolehi mestilah di periksa semula oleh doktor senior (Medical Officer) dan juga pakar. Kita mahu pastikan maklumat yang diperolehi mereka adalah betul bagi tujuan keselamatan diri pesakit juga. Ini menyebabkan soalan-soalan yang sama mungkin perlu dijawab oleh pesakit sungguhpun sudah tercatit di dalam fail.
- Bagi kes-kes di klinik kesihatan misalannya, sungguhpun rekod anda ada sejak bertahun-tahun namun soalan yang sama kadang kala perlu ditanya juga. Ini adalah bagi melihat progression penyakit anda dan juga untuk melihat jika ada perubahan pada simptom yg anda laporkan sekian lama. Mungkin muncul simptom2 baru contohnya. Juga, doktor mungkin telah berpindah atas tujuan kenaikan pangkat atau peribadi. Doktor baru yang mengambil alih kes anda tidak boleh bersandar pada maklumat yang telah anda berikan pada doktor sebelum ini. Ini adalah kerana semua sebab yang telah saya sebutkan sebelum ini.
- Maklumat yang diberikan di Jabatan Kecemasan biasanya adalah tidak lengkap atas sebab pesakit masih trauma, suasana bising dan sibuk serta tempoh masa yang amat sekejap pesakit dirawat di jabatan kecemasan. Apabila pesakit telah tiba di wad, dengan suasana yang lebih aman, tenteram dan harmoni, mungkin pesakit teringat maklumat-maklumat tambahan yang boleh membantu dari aspek perawatan.
Itulah antara sebab-sebab doktor berkemungkinan menyoal anda soalan yang sama berkali-kali. Ada banyak lagi sebab tetapi saya rasa cukuplah 6 sebab yang saya tuliskan di atas bagi menjawab empunya komen di dalam gambar di bawah.
Anda harus sedar. Doktor tidak suka-suka bertanya anda soalan banyak kali. Kami ada banyak lagi kerja penting yang perlu dilakukan. Buat apa kami buang masa bertanya dengan anda banyak kali sekiranya ia tidak penting?
Anda berasa penat, meluat dan bosan kerana kena ulang menjawab berkali-kali. Namun terfikirkah anda, kami perlu menyoal bukan anda seorang, tetapi keseluruhan pesakit yang berada di wad, jabatan kecemasan dan klinik-klinik yang jumlahnya boleh mencapai beratus orang dalam sehari.
Bukankah kami lebih penat? Itu belum lagi melayan kerenah waris-waris, bau-bau bacang, ipar duai, sepupu sepapat, ketua kampung, majikan dan lain-lain kenalan anda yang akan bertanya pelbagai perkara tentang anda kepada kami.
Berlaku adillah wahai rakyat.
Sekian.
0 comments